Pengikut

Selasa, 27 Disember 2011

Qistina (2)

   "Kau ni, banyak berahsialah!" tempelak Azryl sambil menarik kerusi kosong yang berhampiran.
  
    "Sesetengah perkara memang patut dirahsiakan," Suzana menyampuk.

   "Betul tu, aku setuju. Serapat mana pun perhubungan kita dengan seseorang, ada sesetengah perkara yang harus dirahsiakan dari pengetahuannya."
   
  "Walaupun dengan suami sendiri?" soal Azryl, buntang matanya tepat ke wajahku.
 
   Aku terus terdiam, terkunci bicara buat seketika. Suzana mencebik. Azryl masih merenungku, mengharapkan balasan dariku. Sinaran matanya itu seolah menyimpan suatu. Suatu rahsia yang hanya dia seorang sahaja yang tahu apa yang bermain di mindanya saat ini. Aku lantas menjongket bahu. Lidahku kelu untuk meneruskan kata bicara, terpanah oleh sinaran mata sang arjuna idaman hati.
 
   "Wow!" Azryl tiba-tiba mengalihkan pandangannya bila terpandang seorang pelajar perempuan yang sedang melangkah masuk ke kelas.

   Qistina menuju ke tempat duduk. Azryl leka memerhati gadis berkulit kuning langsat itu. Cemburu menjalari tubuhku dengan tindakan Azryl itu walaupun aku tidak berhak untuk berperasaan sedemikian. Azryl masih solo. Dia berhak memilih mana-mana gadis untuk dijadikan teman hidupnya.
 
   "Aku nak cuba ayat awek tulah, tapi... takut pulak!" 
  
   Kata-kata Azryl umpama ledakan bom atom di dasar hatiku. Azryl sudah menemui gadis idaman. Qistina menepati citarasanya. Aku sedaya upaya merawat hati yang sudah terguris.
 
   "Apa yang kau takut? Kau bersuara saja, mesti dia terima." Suzana seolah-olah memberi dorongan kepada Azryl untuk memikat Qistina. Tahukan Suzana, tindakannya itu telah mengguriskan hati sahabat baiknya?

   "Dia mana pernah senyum. Jarang bercakap. Datang kelas malam sekali sekala saja."

   "Masalah kecik aje tu."

   "Sue, kau tolong aku pikat dia."

   Suzana mencebik. "Hello, kau ingat aku match maker ke?"

   "Huh! Kau memang tak boleh diharap." Ujar Azryl. "Iqa, kau tolong aku, boleh?"

   "Aku???"

   Azryl angguk kepala.

   "Maaf!" balasku sepatah. 

   Tak sangka, Azryl boleh meminta bantuan dariku, gadis yang mencintainya dalam diam? Kalaulah Azryl dapat membaca apa yang tertulis di hatiku, tentu dia tidak akan sanggup meminta pertolongan dariku. Azryl telah menghancurkan perasaanku tanpa disedarinya.
 
   Terasa ingin menangis bagi meluahkan kekecewaan di hati. Tetapi keadaan tidak mengizinkan aku untuk berbuat demikian. Tak dapat aku bayangkan jika Azryl memiliki teman wanita. Tentu dia akan berbahagia bersama teman wanitanya itu. Sedangkan aku, pasti akan berendam air mata saban hari.

Bersambung...

Tiada ulasan: