Pengikut

Khamis, 29 Disember 2011

Parah (3)

   "Iqa, kau ada masalah ke?" soal Liza, rakan sekerja yang juga teman sebilikku di flat asrama pekerja.

   Aku geleng kepala. Cinta. Adakah aitu satu maslah? Aku sendiri keliru. Kerana cinta terpendam,, aku macam sedang menghadapi satu masalah besar. Liza mungkin akan ketawa kalau aku nyatakan masalah cintaku itu.

   "Akhir-akhir ni, aku perasan kau asyik termenung je."

   "Termenung? Ye ke?"

   "Kau tak perasan ke? Ke... kau sengaja nak sembunyi sesuatu dari aku."

   "Sysssh..." Aku meletakkan jari telunjuk di bibir. "Bos ke sini tu." bisikku. 

   Aku dan Liza kembali menumpukan seratus peratus kerja yang sedang dilakukan. Kami bimbang dimarahi oleh Encik Malik, seorang penyelia kilang yang garang. Kegarangannya mengalahkan cikgu sekolah yang sedang hamil. 

   Tangan ligat melakukan kerja, sementara fikiran mula melayang-layang. Aku tidak menyimpan apa-apa perasaan pada Azryl Khalish ketika kali pertama bersua muka dengannya. Namun, dari sehari ke sehari, aku mula terpikat padanya. Sikapnya yang kelakar dan wajahnya yang tampan antara daya penarik yang ada padanya, bisa melahirkan perasaan cinta pada hati para gadis termasuk aku.

   Aku menguap lagi. Aku pandang Liza di sebelah. Dia sedang khusyuk melakukan kerja. Aku tak berani hendak mengganggunya. Ikutkan hati, mahu sahaja aku mengajak Liza berbual-bual agar hilang rasa mengantuk. Aku tidur awal semalam. Tapi tidur aku tak berkualiti. Aku asyik terjaga. Dan bayangan Azryl muncul menari-nari di mindaku. 

   Parah. Aku dah gila bayang. Azryl tak ada pun perasaan pada aku, aku pulak yang lebih-lebih. Kalaulah aku tidak bertepuk sebelah tangan, alangkah bahagianya ku rasa. Menjadi kekasih Azryl adalah satu mimpi indah...

Selasa, 27 Disember 2011

Qistina (2)

   "Kau ni, banyak berahsialah!" tempelak Azryl sambil menarik kerusi kosong yang berhampiran.
  
    "Sesetengah perkara memang patut dirahsiakan," Suzana menyampuk.

   "Betul tu, aku setuju. Serapat mana pun perhubungan kita dengan seseorang, ada sesetengah perkara yang harus dirahsiakan dari pengetahuannya."
   
  "Walaupun dengan suami sendiri?" soal Azryl, buntang matanya tepat ke wajahku.
 
   Aku terus terdiam, terkunci bicara buat seketika. Suzana mencebik. Azryl masih merenungku, mengharapkan balasan dariku. Sinaran matanya itu seolah menyimpan suatu. Suatu rahsia yang hanya dia seorang sahaja yang tahu apa yang bermain di mindanya saat ini. Aku lantas menjongket bahu. Lidahku kelu untuk meneruskan kata bicara, terpanah oleh sinaran mata sang arjuna idaman hati.
 
   "Wow!" Azryl tiba-tiba mengalihkan pandangannya bila terpandang seorang pelajar perempuan yang sedang melangkah masuk ke kelas.

   Qistina menuju ke tempat duduk. Azryl leka memerhati gadis berkulit kuning langsat itu. Cemburu menjalari tubuhku dengan tindakan Azryl itu walaupun aku tidak berhak untuk berperasaan sedemikian. Azryl masih solo. Dia berhak memilih mana-mana gadis untuk dijadikan teman hidupnya.
 
   "Aku nak cuba ayat awek tulah, tapi... takut pulak!" 
  
   Kata-kata Azryl umpama ledakan bom atom di dasar hatiku. Azryl sudah menemui gadis idaman. Qistina menepati citarasanya. Aku sedaya upaya merawat hati yang sudah terguris.
 
   "Apa yang kau takut? Kau bersuara saja, mesti dia terima." Suzana seolah-olah memberi dorongan kepada Azryl untuk memikat Qistina. Tahukan Suzana, tindakannya itu telah mengguriskan hati sahabat baiknya?

   "Dia mana pernah senyum. Jarang bercakap. Datang kelas malam sekali sekala saja."

   "Masalah kecik aje tu."

   "Sue, kau tolong aku pikat dia."

   Suzana mencebik. "Hello, kau ingat aku match maker ke?"

   "Huh! Kau memang tak boleh diharap." Ujar Azryl. "Iqa, kau tolong aku, boleh?"

   "Aku???"

   Azryl angguk kepala.

   "Maaf!" balasku sepatah. 

   Tak sangka, Azryl boleh meminta bantuan dariku, gadis yang mencintainya dalam diam? Kalaulah Azryl dapat membaca apa yang tertulis di hatiku, tentu dia tidak akan sanggup meminta pertolongan dariku. Azryl telah menghancurkan perasaanku tanpa disedarinya.
 
   Terasa ingin menangis bagi meluahkan kekecewaan di hati. Tetapi keadaan tidak mengizinkan aku untuk berbuat demikian. Tak dapat aku bayangkan jika Azryl memiliki teman wanita. Tentu dia akan berbahagia bersama teman wanitanya itu. Sedangkan aku, pasti akan berendam air mata saban hari.

Bersambung...

Isnin, 26 Disember 2011

Intro (1)

   Aku dilanda keresahan. Wajahnya sering terbayang di mataku. senyumannya yang menggoda telah memukauku. Aku akui aku telah jatuh cinta padanya. Bilakah perasaan ini berputik, aku sendiri tidak menyedarinya. Seringkali bayangan wajahnya menghiasi mimpi-mimpiku. Sedalam manapun cintaku kepadanya, aku sedar yang aku hanya bertepuk sebelah tangan. Perasaanku kepadanya terpendam di lubuk hati. Aku tidak punya kekuatan untuk meluahkan perasaan ini kepadanya. aku bimbang dituduh perigi mencari timba. Tapi... dalam zaman sekarang, masihkah wujud istilah perigi mencari timba?

   "Hai Iqa, mengelamun ke?" tegur Suzana yang baru saja tiba di kelas. Dia senyum-senyum kepadaku sambil meletakkan beg galas atas mejanya.

  Aku geleng kepala, tersipu-sipu malu. Aku langsung tidak menyedari yang kelas sudah pun dipenuhi para pelajar. Semuanya hadir dengan satu niat, mahu menyambung pelajaran.

   Aku mula mendaftar di kelas malam awal tahun. Aku terpaksa mengambil kelas malam untuk memperbaiki keputusan SPMku kerana pada sebelah siang, aku bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang elektronik. Oleh itu, setiap malam Isnin, Rabu dan Khamis, aku akan berada di sini. Siang bekerja, malam belajar. Itulah rutin hidupku sejak beberapa bulan yang lalu.

   Seseorang melangkah masuk. Dadaku terus berdebar-debar. Inilah yang dikatakan dalam hati ada taman, taman yang dihiasi kumbang. Melihat wajah Azryl Khalish, terasa diri berada di awang-awangan. Aku cinta dia!!!! Jerit hatiku. 

   "Hai..." Azryl melemparkan senyuman pada aku dan Suzana. Dia terus melangkah ke tempat duduk di barisan belakang.

   Dia nampak segak malam ini walau hanya memakai baju T putih dipadankan dengan jaket hitam. Jean biru lusuh menjadi kegemarannya. Apa-apa saja mengenai Azryl, aku catatkan dalam diari rahsiaku, sebagai tatapan di kala sunyi.

   "Tulis apa tu!" Azryl menepuk mejaku.

   Dup! Bagai terhenti degupan jantungku. Pantas aku menutup diari. Azryl datang mengejut dari arah belakang. Aku harap dia tidak sempat baca apa yang tertulis di dada diariku. Kalau tidak, habislah aku. Nama Azryl penuh di dada diari kesayanganku itu.
bersambung...