Pengikut

Isnin, 16 Januari 2012

Cute (4)

Aku gagal memberikan sepenuh perhatian pada apa yang diajar oleh guru di dalam kelas. Setengah jam sekali aku akan menoleh ke belakang untuk mencuri pandang wajahnya yang kacak. Harap-harap dia tidak menyedari tingkah lakuku.
Bagaimanakah harus aku luahkan perasaan ini? Sudikah dia menerimaku sebagai kekasih hatinya?
         Satu lagi sebab mengapa aku boleh jatuh cinta padanya ialah kerana sikapnya yang gentleman. Dia sering menemani aku dan Suzana ketika menunggu bas di perhentian setelah tamat kelas malam. Setelah kami menaiki bas masing-masing, barulah dia akan beredar. Kata Azryl, dia buat begitu kerana kami ini kawannya. Dia risau akan keselamatan kami. Ya, memang aku dan Suzana adalah kawannya. Tapi, kalaulah aku ini kekasihnya, pasti dia akan menghantarku pulang hingga depan rumah.
            Aku tersenyum, mula berangan…
“Jumpa lagi esok.” Suzana melangkah ke arah bas, meninggalkan aku dengan Azryl berdua di situ.
            Sebelum ini, aku tidak rasa apa-apa bila berdua dengannya. Tapi kini, terasa kekok pula. Aku diserang perasaan malu, resah dan gelisah tatkala bertentang mata dengannya. Renungannya umpama panah beracun yang menusuk ke hatiku. Ya Allah, kenapa sukar aku nak kembali normal seperti dulu? Seperti mula-mula aku kenal Azryl. Masa tu, aku langsung tak ada hati padanya. Langsung tak malu bila nak bergurau dengannya.
            Tapi sekarang, nak pandang wajahnya pun aku segan. Apa lagi nak bercakap dengannya. Pelik!
            “Kau dah ada boyfriend?” entah kenapa tiba-tiba terpacul soalan tersebut dari mulut Azryl.
        Angguk tidak, geleng pun tidak. Sebenarnya, aku terkedu! Tak sangka pula dia mengajukan pertanyaan itu. Pertanyaan yang sukar dijawab.
Adakah dia sengaja mengujiku? Sekiranya aku menjawab ‘tiada’, adakah dia akan mendekatiku? Adakah dia akan menawarkan dirinya untuk menjadi kekasihku? Atau adakah dia akan mencari seseorang untuk mendampingiku? Ah, segalanya mungkin!
            “Oo… segan ye… dah ada la tu.” Azryl tersenyum-senyum.
            “Ish, tak adalah! Gadis macam aku ni, siapalah yang nak.” Cepat-cepat aku menjawab. Kalau Azryl fakir aku sudah ada kekasih, punahlah harapanku untuk mencuri hatinya. Aku juga yang melepas nanti. Jadi, lebih baik aku berterus-terang walaupun dengan berterus-terang itu nampak sangat yang aku sedang ‘menawarkan’ diri.
            “Tipulah! Kau kan cute, mustahil tak ada lelaki yang tersangkut.”
            Cute? Benarkah aku cute? Aku telan liur. Lidah kelu tak berkata. Benarkah kata-kata itu keluar dari mulutnya? Keluar dari mulut seorang lelaki yang aku puja??? Atau adakah ini semua hanyalah satu mimpi?
            Cute???
            Bas City Liner semakin hampir. Ah, kenapa saat-saat ini bas muncul? Geram pulak hatiku melihat bas sampai. Sedangkan sebelum ni aku menyumpah seranah dalam hati bila bas lambat sampai.

            “Er… bas dah sampai tu. Aku balik dulu.” Mahu tak mahu aku terpaksa meninggalkan Azryl.

            “Ok, hati-hati.” Pesan Azryl seperti selalu.

Dengan berat hati aku melangkah menuju ke pintu bas. Ikutkan hati, aku tidak ingin tinggalkan Azryl. Aku mahu berbicara dengannya lagi. Aku mahu pastikan adakah pujiannya itu ikhlas lahir dari hatinya atau sekadar hendak menyedapkan aku sebagai sahabatnya. Penting untuk aku tahu semua itu agar mudah untuk aku menilai apa yang sedang bermain di hatinya.

Setelah membayar harga tiket, aku terus menuju ke tempat duduk di sebelah tingkap. Azryl melambaikan tangan dengan senyuman menggoda terukir di bibirnya.
            ‘Kau kan cute’.
Kata-kata itu masih terngiang-ngiang di cuping telinga. Aduh, belum pernah ada lelaki yang memuji paras rupaku ini. Wajahku, biasa-biasa sahaja. Tapi Azryl telah memujiku. Ah, entah-entah dia hanya bergurau. Aku pula yang terlebih perasan! Aku tersenyum sorang-sorang.
Bila menyedari ada Mat Indon di tempat duduk berhadapan tersengih padaku, aku segera tarik senyuman. Huh, nak berangan pun tak boleh!
Namun kenangan malam ini, pasti sukar untuk dilupakan. Mana tahu, mungkin Azryl juga menyimpan perasaan padaku. Sebab itu, dia mahu mengetahui statusku sebelum mendekatiku. Aku tersenyum sendirian dan mula memasang angan-angan. Angan-angan indah untuk hidup bersamanya.