Pengikut

Isnin, 26 Disember 2011

Intro (1)

   Aku dilanda keresahan. Wajahnya sering terbayang di mataku. senyumannya yang menggoda telah memukauku. Aku akui aku telah jatuh cinta padanya. Bilakah perasaan ini berputik, aku sendiri tidak menyedarinya. Seringkali bayangan wajahnya menghiasi mimpi-mimpiku. Sedalam manapun cintaku kepadanya, aku sedar yang aku hanya bertepuk sebelah tangan. Perasaanku kepadanya terpendam di lubuk hati. Aku tidak punya kekuatan untuk meluahkan perasaan ini kepadanya. aku bimbang dituduh perigi mencari timba. Tapi... dalam zaman sekarang, masihkah wujud istilah perigi mencari timba?

   "Hai Iqa, mengelamun ke?" tegur Suzana yang baru saja tiba di kelas. Dia senyum-senyum kepadaku sambil meletakkan beg galas atas mejanya.

  Aku geleng kepala, tersipu-sipu malu. Aku langsung tidak menyedari yang kelas sudah pun dipenuhi para pelajar. Semuanya hadir dengan satu niat, mahu menyambung pelajaran.

   Aku mula mendaftar di kelas malam awal tahun. Aku terpaksa mengambil kelas malam untuk memperbaiki keputusan SPMku kerana pada sebelah siang, aku bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang elektronik. Oleh itu, setiap malam Isnin, Rabu dan Khamis, aku akan berada di sini. Siang bekerja, malam belajar. Itulah rutin hidupku sejak beberapa bulan yang lalu.

   Seseorang melangkah masuk. Dadaku terus berdebar-debar. Inilah yang dikatakan dalam hati ada taman, taman yang dihiasi kumbang. Melihat wajah Azryl Khalish, terasa diri berada di awang-awangan. Aku cinta dia!!!! Jerit hatiku. 

   "Hai..." Azryl melemparkan senyuman pada aku dan Suzana. Dia terus melangkah ke tempat duduk di barisan belakang.

   Dia nampak segak malam ini walau hanya memakai baju T putih dipadankan dengan jaket hitam. Jean biru lusuh menjadi kegemarannya. Apa-apa saja mengenai Azryl, aku catatkan dalam diari rahsiaku, sebagai tatapan di kala sunyi.

   "Tulis apa tu!" Azryl menepuk mejaku.

   Dup! Bagai terhenti degupan jantungku. Pantas aku menutup diari. Azryl datang mengejut dari arah belakang. Aku harap dia tidak sempat baca apa yang tertulis di dada diariku. Kalau tidak, habislah aku. Nama Azryl penuh di dada diari kesayanganku itu.
bersambung...

 

Tiada ulasan: